Terpilih ke saingan akhir MIT 2020 Solve Global Challenge. Kit ciptaan anak tempatan memerlukan sokongan rakyat Malaysia.

Kenyataan Media (Bahasa Malaysia)

13 Sep 2020
Kuala Lumpur, Malaysia

Pasukan nanoSkunkWorkX yang diketuai oleh Dr Amani telah membangunkan alat diagnostik pantas pertama di dunia menggunakan nanoteknologi untuk mengesan SARS-CoV-2  bagi mengenal pasti Covid-19. Alat yang merupakan satu-satunya cadangan penyelesaian berasaskan diagnostik telah terpilih di antara 15 perserta akhir peringkat dunia dalam pertandingan MIT Solve 2020 Global Challenges untuk kategori Keselamatan kesihatan dan Pandemik. Sebanyak 2,600 penyertaan telah dikemukakan dari 135 negara. 90 daripadanya terpilih mewakili 6 kategori untuk pembentangan di Virtual Solve Challenge Finals pada 29 September ini. Cadangan-cadangan yang terpilih akan memenangi geran-geran sejumlah sebanyak 2 juta Dolar AS.

Pasukan Dr Amani termasuk rakan kolaborasi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah membangunkan alat diagnostik berkos rendah, mudah alih, mudah diguna, pantas mengesan SARS-COV-2 dan mudah dibangunkan untuk skala besar.  Ia disasarkan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap reagent import yang mahal serta memerlukan tenaga kerja yang ramai serta makmal diagnostik yang mahal dan berkedudukan tetap.

Teknologi dibangunkan oleh nanoSkunkWorkX yang berketepatan tinggi ini menyediakan solusi  penting terutamanya untuk negara berpendapatan rendah / sederhana  negara (LMIC) dengan sistem kesihatan awam yang lemah disamping mengekalkan kualiti pengesanan yang tepat.

Ketepatan tinggi ini dicapai menggunakan teknologi inovatif dengan menanam struktur 3D-graphene di dalam teknologi nano-engineered Sensor Dot (nSD) yang dihasilkan nanoSkunkWorkX. Ia adalah aplikasi teknik penginderaan elektrokimia yang dikembangkan daripada projek SporeSat  Dr Amani di NASA dan kemudian digabungkan bersama teknik integrasi molekul proprietari yang berjaya dikembangkan di Malaysia. Projek inovasi yang menjayakan projek SporeSat NASA yang dipelopori Dr Amani melayakkan beliau memenangi anugerah Thora Halstead Young Investigator Award pada tahun 2012.

Kami menyeru rakyat Malaysia untuk mengundi dan menyokong projek ini untuk menjadi pemenang Community Prize (Anugerah Masyarakat) bagi mengembangkan hasil ciptaan anak Malaysia di persada dunia.

Dari NASA ke Bumi !
Majulah Sains untuk Negara !

TAMAT

Download Press Statement